Wednesday, November 9, 2022

Cermin 43: Perlawanan jiwa tiga penjuru...


"Sebelum dia menjemput puteri kembali ke Inderaloka atas, dia perlu menyiasat dengan lebih dalam apa jenis kuasa yang sedang membayangi Inderaloka atas."

Perlawanan jiwa tiga penjuru...


Rahasya.

Rahasya mengeluh. Memori bersama puteri sangat mengguris jiwanya. Terutama apabila kini puteri sudahpun hilang hampir keseluruhan ingatannya. Dia termenung seketika memikirkan bahawa kini Haqq sedang menjaga puteri. Bunga itu sudahpun ditanam tepat di jantung puteri. Dia berharap Haqq menjaga puteri sebaiknya, sementelah dia kini sedang cuba menyelesaikan konflik dalaman yang berlaku di Istana Cermin. Kini, setiap kali dia bermeditasi pasti akan diganggu dengan bayangan puteri. Sebelum dia menjemput puteri kembali ke Inderaloka atas, dia perlu menyiasat dengan lebih dalam apa jenis kuasa yang sedang membayangi Inderaloka atas. Kuasa mistik yang sedang menganggu kedamaian sentero loka dengan menghasut pelbagai watak untuk terus berperang demi mendapatkan kuasa. Rahasya mengeluh lagi. Meditasi demi meditasi kini tidak begitu memberi impak buat jiwanya. Dia juga sedar ketenangan dirinya sekarang tergugat kerana bebanan tugas yang semakin memberat ditambah dengan kerisauan tentang keadaan puteri.

“Puteri, jika tidak kerana kuasa itu yang semakin membarah di dalam tubuh ayahandamu itu, pastilah patik segera menjemputmu..." Rahasya bermonolog. Dia kecewa tapi dia harus kuat. Memegang posisi sebagai laksamana sebuah negara pastilah setiap tindakan tidak boleh semudah itu. Semuanya pasti dikira dalam pertimbangan kerana dia mengerti setiap satu tindakan punya risikonya tersendiri. Jika diikutkan hati, mahu sahaja sekarang ini juga dia menjemput puteri. Tapi jika dia menjemput puteri, pastilah akan berlaku perebutan bunga larangan itu samaada secara halus mahupun kasar dari Raja Cermin. Jika bunga itu berjaya dirampas, pastilah selepas itu berlaku pula siri peperangan besar2an antara Inderaloka atas dan juga seluruh loka lainnya yang entah bila tamatnya dan sudah tentu ia akan mengorbankan ramai nyawa yang tidak bersalah. Rahasya tahu bunga itu mempunyai tarikan yang mampu membuatkan sesiapa saja yang berkehendakkan kekuasaan, menjadi gila. Godaannya terlalu kuat. 

Raja Cermin yang terkenal sangat baik itupun tak mustahil kalah dengan aura bunga itu. Apatahlagi, sejarah amukan Raja Cermin suatu masa dahulu, membuktikan ada sesuatu potensi tersembunyi tentang rajanya itu. Ini semua membuatkan Rahasya sangat runsing. Adakah dia cukup kuat untuk menghapuskan kuasa misteri yang sedang merasuki ayahanda puteri itu? Jika dia tidak cukup kuat, pada siapakah dia perlu memohon bantuan? Abangnya Haqq akan membantu musuhnya kah? Bagaimana jika dia memohon bantuan adik beradik seperguruannya? Mencari abangnya Pawana? Bagaimana pula jika berlaku pertempuran besar antara abangnya Pawana dan abangnya Haqq? Aduh bahaya. Bagaimana pula Nenda Melor? Dia juga meragui kejujurannya, ada sesuatu pada Nenda Melor yang merisaukannya. Paling penting sekali , selepas semuanya selesai nanti, akankah abangnya Haqq itu patuh pada janji mereka untuk memulangkan puteri semula padanya? Rahasya mengeluh lagi dan lagi. Sungguh berat pertimbangan kali ini.

Akhir sekali, dia mengakui, ini bukanlah apa yang dia rancangkan dahulu. Semuanya telahpun lari dari perancangan asal. Dia tidak mengetahui serumit ini kesan daripada pencarian bunga larangan itu. Jika dia tahu, takkanlah dia mahu menggadaikan keselamatan puteri! Yang tinggal kini, dia perlu merancang perancangan baru supaya keharmonian dan kestabilan loka2 terutama Inderaloka Atas terpelihara. Dalam dia sibuk merancang dan bertindak langkah demi langkah, dia mengeluh sekali lagi. Kenangan bersama puteri mengacau jiwa kasarnya. Guruh yang tiba2 berbunyi di selang seli dengan kilat. Hujan menitik sedikit demi sedikit seperti mengetahui kegundahan hatinya kini. 

***


Haqq.

Malam ini bulan mengambang penuh. Haqq mengeluh keseorangan. Dia sedang berkira2 adakah dia juga perlu menyimpan bunga larangan itu demi perluasan kuasanya? Walaupun itu bukanlah motif utamanya, tapi jika bunga larangan itu dapat ke tangan ayahanda puteri, pastilah kerajaan Inderaloka bawah akan digempur habis2an, dia sangat pasti tentang itu. Dia juga risau, adakah kuasanya mampu melawan kuasa bunga larangan itu? Bagaimana dengan puteri? Adakah jika bunga larangan itu dipisahkan dari dirinya, akan memberi kesan pada diri puteri? Jika boleh dalam apapun keputusan yang diambil, keselamatan puteri menjadi keutamaannya. Dia tidak mahu melihat kekasihnya itu terluka. Selain daripada dia sudahpun berjanji dengan adiknya Rahasya untuk menjaga puteri dengan baik, dia juga perlu memikirkan banyak perkara. Untuk memulangkan puteri kepada adiknya itu? Biar hancur dirinya, tidak akan sekali2 dia melakukan sebegitu. Puteri miliknya! Persepsi gelap Haqq merasuki ruang ego dirinya. Jika dia terus menyimpan puteri disisinya, pasti segalanya dapat diselamatkan. Kerajaan Inderaloka bawahnya juga akan kekal makmur dan siri perluasan kuasanya kelak pasti akan disulami dengan kemenangan tanpa kalah. Haqq tersenyum yakin. Ya, dia perlukan puteri untuk menyeimbangkan segalanya yang dia sedang pelihara. Dia bertekad untuk tidak melepaskan puteri biar apapun terjadi. Titik. 

***


Indera.

Sudah sebulan lebih puteri hilang. Sehingga kini, dia masih gagal bertelepati dengan adiknya itu yang kini dibawa lari Haqq, Raja Kegelapan Inderaloka Bawah. Dia sangat risau. Kerahan tentera di segenap pelusuk negara diperketatkan, masih buntu menemui hasilnya. Indera sudah hampir putus asa. Setiap kali bertembung dengan Laksamana, hatinya panas membara. Entah gila apa, laksamana tak pernah mahu mengaku silapnya. Dia sangat yakin, tempohari kerja laksamana lah yang telah membawa puteri mencari bunga larangan itu, mengapa laksamana tak mahu mengaku???! Kerana inilah semuanya bermula. Krisis demi krisis terjadi selepas pemergian puteri. Jika tidak kerana laksamana membawa posisi yang lebih tinggi darinya, pasti dia sudah menghapuskannya! Arghhh persetan dengan posisi tugas, dia cuma perlukan bukti2 kukuh untuk mempersembah kepada Raja Cermin tentang siapa sebenarnya laksamana itu. Jika boleh, dia mahu laksamana dipenjarakan kerana gagal menjalankan tugas dengan baik, malah menyebabkan puteri hilang sehingga kini! Indera terlalu bengang! Dia hampir hilang rasionaliti. Sejenak dia teringat peristiwa ketika mereka diserang di atas gunung tempohari. Itulah terakhir dia melihat adiknya. Dia sangat rindu untuk bergelak tawa bersama adiknya itu. Puteri, mana awak...Indera hampir menjerit cuba menahan rasa. Dia mencucuk pedangnya ke tanah dan cuba bertenang menahan amarah yang teramat pada laksamana. 

Bersambung...



No comments:

Post a Comment

Cermin 58: Tali apa ini? Kemas betul ikatannya.

" Misteri diri Nur terlalu membelenggu dirinya."  Hakimi terjaga daripada lenanya. Dia kini berada di hutan asal sebentar tadi seb...