Thursday, May 5, 2022

Cermin 22: Itulah sedikit kisah silamnya sebelum berguru dengan Sang Petapa...


pexels

"“Aku adalah jin! Hahaha...” usik Haqq dengan suara yang sengaja digaraukan dan dibesarkan ala-ala jin."

“Cahaya, bangun...makanan sudah kusediakan, mari kita makan.” Pujuk Haqq mengejutkanku. Dia kulihat sudah bertukar pakaian, mungkin dia mandi tadi. Wajahnya kelihatan segar sekali.


“Hah? Oh, maaf aku tertidur...panas benar cuaca hari ini...” aku terkial-kial bangun dan membasuh muka di kolam air terjun berdekatan.


“Cantik bunga di rambutmu. Harumnya sampai kesini. Dimana kau petik? Setahuku disini tiada pohon kemboja.” Tanya Haqq ketika kami baru saja habis makan. Pandang mukaku pun tidak. Entah apa-apa perangai, bisikku. Sebenarnya Haqq tahu kisah tadi melalui firasatnya, sengaja dia bertanya padaku. Mahu tahu terperinci apa yang kami bualkan tadi. Dia juga tahu siapa perempuan itu malah dia mengetahui bahawa bunga yang sedang aku pakai itu adalah bunga larangan yang sangat masyhur hikayatnya zaman berzaman. Setiap sesuatu yang terlarang punya harganya, akan tetapi Haqq membiarkan sahaja kerana baginya terlarang itu ibarat kegelapan yang punya cahaya ditengah-tengahnya. Tentu risiko ini sangat sesuai untuk manusia degil seperti wanita kesayangannya. Malah tanpa risiko itu tidak mungkin puteri akan kembali di sisinya semula seperti kini. Ya, setiap sesuatu punya hikmahnya tersendiri.


“Oh, ini ke? Entah, tadi ada seorang perempuan datang dan memberiku. Kenapa kau tanya? Setahuku kau tidak pernah berminat hal-hal remeh seperti ini.” Ujarku spontan sambil bermain air. Adakala aku malas mahu berbual dengan manusia tak berperasaan itu, boleh sakit jiwa jadinya. Apatah lagi di hadapanku kini tergambar satu panorama air terjun yang sangat indah.  


Haqq tiada reaksi sama seperti sangkaanku. Aku tidak pernah jumpa dengan manusia kosong seperti ini. Ah, biarlah malas aku mahu memikirkannya.


Lama kami begitu. Haqq kulihat hanya duduk bertafakur sambil memejamkan mata. Baju persalinan yang diberi Haqq ini benar-benar memudahkan pergerakanku. Sementara Haqq sibuk bermeditasi, aku pula sibuk berlari-lari dan bermain air sambil bergelak tawa. Setelah keletihan, aku duduk bersimpuh disebuah batu bermain air dan bernyanyi. Haqq membuka mata tatkala terdengar suaraku. Wajahnya tenang. Dia tersenyum lalu kenangan lama terimbau diingatannya. Ketika itu puteri masih kecil. Dia pula sudah menjangkau usia remaja. Di waktu itu dia hanyalah seorang anak yatim piatu yang mengembara bebas tanpa tujuan.


Disatu petang yang redup. Taman larangan, Istana Cermin.


“Tuan puteri, tunggu sebentar disini ya? Patik ambilkan bakul di kamar sebentar. Jangan pergi mana-mana ya? Di sini saja tau...” pesan Dayang Delima kepada Puteri Cahaya sambil menggoyangkan jari telunjuk tanda ingatan. Puteri hanya mengangguk dan duduk termenung menongkat dagu di bawah sebatang pohon rimbun. Tiba-tiba seekor rama-rama putih terbang melintas di hadapan matanya. Kerana terlalu teruja puteri terus terlupa janjinya tadi dan dia sibuk mengejar rama-rama itu sehingga ke satu sudut sunyi taman larangan. Tapi malang sekali, rama-rama itu telahpun hilang.


“Delima...oh Delima? mana kamu?” puteri mula kelam-kabut mencari jalan keluar. Kesana kesini akhirnya tiba di tempat yang sama semula. Walaupun sejak dari kecil puteri bermain di sini tetapi susunan taman larangan ini sangat kompleks sehinggakan dia selalu terkeliru. Sememangnya puteri sangat lemah dalam susun atur dan koordinasi. Tanpa diketahui, rupa-rupanya gelagat tuan puteri berada di bawah pandangan Haqq yang sedang duduk tersenyum melihat dari atas pagar taman larangan. Haqq mula berfikir nakal. Dia memetik buah rambutan berdekatan dan membaling perlahan kearah tuan puteri.


“Aduh! Siapakah gerangannya yang membaling buah ini? Siapa???” tuan puteri mula berang dipermainkan sebegitu. Puteri perlahan mengurut belakang bahunya. Sakit benar, rungutnya.


“Aku adalah jin! Hahaha...” usik Haqq dengan suara yang sengaja digaraukan dan dibesarkan ala-ala jin. Dengan perlahan, Haqq terkekek-kekek ketawa sambil menutup mulut takut didengari.


“Hah...jin? wahai jin, di sini kawasan larangan, kamu tidak boleh jejak kesini...beta seru kamu pulanglah...” pujuk puteri tenang sambil berlalu pergi. Puteri masih ingat pesanan ayahandanya bahawa kawal ketenangan hati dan percakapan pabila berhadapan dengan kaum jin dan jangan sekali-kali curahkan api kepada mereka. Haqq pula pelik, puteri tidak takutkah? Terasa tercabar, Haqq mula menjelma menjadi arnab putih yang berlari-lari di sekitar taman larangan untuk mengusiknya. Entah bagaimana tuan puteri sikitpun tidak mempedulikan arnab berupa pelik itu. Seekor arnab yang tidak bertelinga. Ilmu jelmaan  haiwan memang sebegitu, kecacatan pada rupa paras adalah tandanya.


Tuan puteri masih sibuk bermain bunga yang disusun-susun di rumput membentuk corak hati. Adakala puteri ketawa sendiri. Sudah puas arnab itu mencuri pandangannya tapi tetap gagal. Tuan puteri terlalu leka dengan permainan bunganya. Makin lama arnab itu mula bosan dan duduk merenung tuan puteri disebalik rimbunan pohon melur. Begitulah setiap kalinya pabila Haqq merindui puteri. Yang sebenarnya ilmu jelmaan Haqq punya cacat cela. Ia benar menjelma tapi ia juga tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Haqq pula tidak tahu tentang ini. Hanya setelah beberapa lama barulah dia mengetahui kecacatan ilmunya itu. Semenjak itu barulah dia berhajat untuk berguru.  Teringatkan ini Haqq hanya tersenyum. Segalanya ini takdir kurniaan tuhan, monolog Haqq di dalam hati.


Itulah sedikit kisah silamnya sebelum berguru dengan Sang Petapa dan seterusnya menjadi Raja Kegelapan Inderaloka.


“Hulk Hogan, kenapa termenung?” tegurku pelik melihat Haqq tersenyum keseorangan seperti orang tak betul pula. Jarang dia begini. Haqq terkejut ditegur begitu tapi seperti biasa dia tetap pandai mengawal reaksinya. Dia tersenyum lembut kepadaku. Matanya bersinar cahaya.


Eh, buang tebiat ke? Bisik hati kecilku. Aku menjeling dan berpaling benci lalu duduk termenung melihat air terjun sana. Cantiknya air terjun ini, bagus juga kalau dapat tinggal disini, bisikku sambil termenung jauh mengadap air terjun itu. Kaki aku juntai dan rendamkan di dalam air. Hatiku senang sekali. Haqq hanya tersenyum menyaksikan tingkahku. Dia kemudian duduk bersandar di bawah pokok. Akhirnya dia terlelap lalu bermimpi.


*****


Hospital.


Dr. Hakimi sudahpun habis kerja. Kini sudah genap tiga hari dia mendapat mimpi itu. Sejak tengahari tadi dia tidak sabar untuk balik dan membuka diari Nur. Sebelum pulang dia sempat melihat perkembangan Nur di bilik hospital. Itulah rutinnya selama sebulan ini.


“Nur, adakah awak Puteri Cahaya yang saya temui dalam mimpi tu?” ujar Dr. Hakimi perlahan di sisi Nur. Dia kemudian mengeluh dan tertunduk sedih. Dia tidak tahu mengapa setiap kali teringatkan mimpinya itu, dia terasa sangat sayup. Wajah puteri di dalam mimpi itu sepertinya menyimpan satu kesedihan yang tidak terluah. Dr. Hakimi mengeluh lagi.


“Nur, awak mesti kuat. Saya akan bantu awak sedaya yang saya mampu. Bertahanlah.” Bisik Dr. Hakimi perlahan di telinga Nur. Suaranya penuh harapan. Selepas itu dia bergegas pulang. Cara dia berjalan seperti sedang berlari anak. Jururawat yang bertugas semuanya berkerut muka melihat perangai pelik Dr. Hakimi. Sejak beberapa hari ini fikirannya begitu kusut memikirkan misteri yang menyelubungi diri Nur. Entah bagaimana kasihnya tertumpah buat Nur sedangkan hatinya sudah lama tertutup buat mana-mana perempuan pun.


“Wei, kenapa Dr. Hakimi tu? Macam laki mati bini je...” ujar salah seorang jururawat disitu. Mereka berborak sesama sendiri.


“Aah kan? Aku rasa dia tu macam tangkap cintan dengan budak koma tu lah...bila aku kira lebih dari tiga kali sehari dia lawat Nur. Selalunya dia tak camni.” Salah seorang dari mereka menambah rasa.


“Tak mungkinlah, tapi kalau Dr. Hakimi jatuh cinta dengan budak tu, aku tak setuju langsung. Dahla budak tu sekolah lagi, ni pun entah hidup entahkan tidak. Takda perkembangan papa pun. Dah nak sebulan kot dia koma. Aku kesian tengok family dia, kadang aku fikirlah kan, ada eloknya Nur tu mati je...aku yang tiap-tiap hari mekap pun Dr. Hakimi buat dek je, dia yang muka pucat tu pulak Dr. Hakimi pandang. Ntah apa-apa...mungkin si Nur tu pakai ilmu kot. Lain macam je aku tengok muka dia. Seram semacam.” ujar Zia yang merupakan salah seorang jururawat tercantik di hospital ini. Dek kerana kecantikannya, kata-katanya agak berpengaruh di kalangan jururawat dan doktor.


“Aah, aku pun seram tengok muka dia. Ada iras-iras hantu! Eee...” Salah seorang jururawat menambah. Yang lain hanya mengangguk setuju. Ada juga yang hanya menjadi tukang gelak.


“Aku ni korang tahu, kalau bertugas waktu malam, tak berani langsung nak masuk bilik dia tau...seriau. Aku rasa perempuan tu ada pasang hantu raya kot!” ujar Zia lagi sengaja merancakkan rutin gosip petang. Itulah makanan mereka sehari-hari. Bercerita tentang manusia lain tanpa henti.


“Isy ko ni Zia, tak elok cakap camtu, kalau Dr. Hakimi dengar habislah jatuh saham kau sebagai nurse champion kat sini. Kau kena hati-hati, doktor kan dah angau dengan budak tu, melepaslah kau nanti, hahaha.” Usik Zaza yang merupakan rakan baik Zia.


Selepas itu mereka semua bergelak tawa sesama sendiri. Mereka sengaja mengusik Zia. Mereka sudah sedia tahu yang Zia adalah kipas susah mati Dr. Hakimi. Zia yang mendengar hanya mencebik benci. Hatinya mula menyimpan hasad terhadap Nur.


“Apa yang gembira sangat ni?” tiba-tiba Dr. Hakimi muncul. Sebenarnya dia tertinggal telefon bimbit di dalam bilik wad Nur. Ketika dia bergegas menuju ke bilik Nur, dia terdengar nama Nur disebut-sebut jururawat disini. Sengaja dia menyinggah.


“Err, takda apa doktor. Si Zia ni ha, dia kata kesian sangat kat Nur. Bilalah agaknya dia nak sembuh ya...” ujar Zaza sengaja memberi kredit kepada rakan baiknya itu. Zia pula pura-pura mengangguk manja. Dia tersenyum manis memandang Dr. Hakimi. Matanya yang sengaja dipasang bulu mata palsu melentik itu terkelip-kelip. Dr. Hakimi yang memang dikenali sebagai doktor tak berperasaan itu terus meluru ke bilik Nur tanpa sebarang reaksi. Zia menjeling melihat tingkah doktor pujaannya itu.



‘Nur, aku doa kau cepat mati!’  bisik Zia di dalam hati. Wajahnya masam mencuka. Tanpa disedari, dia mula menyimpan dendam. Sememangnya sejak Nur didaftarkan sebagai pesakit disini, dia tidak berapa suka melihat wajah Nur. Seolah dia dan Nur punya dendam lama.


******


Di rumahnya. Di kamar Dr. Hakimi.


Setelah selesai menunaikan solat Isyak, Hakimi berdoa supaya Nur cepat sembuh dan semangatnya kembali semula ke alam realiti. Dia juga memohon diberi petunjuk tentang misteri diri Nur. Dia sangat yakin, mimpinya itu bukan sebarang dan punya maksud yang tersirat. Setelah itu dia melipat sejadah kemudian duduk bersandar di dinding katilnya. Dia kemudian menarik nafas panjang dan menyeluk tangan ke bawah bantalnya. Buku bergaya klasik berwarna coklat tertulis Nur di hadapannya dibelek-belek. Dengan lafaz bismillah dia membuka perlahan buku itu. Mukasurat pertama.


bersambung...


pexels

"Tuan puteri masih sibuk bermain bunga yang disusun-susun di rumput membentuk corak hati. Adakala puteri ketawa sendiri. Sudah puas arnab itu mencuri pandangannya tapi tetap gagal. Tuan puteri terlalu leka dengan permainan bunganya. Makin lama arnab itu mula bosan dan duduk merenung tuan puteri disebalik rimbunan pohon melur. Begitulah setiap kalinya pabila Haqq merindui puteri. "



No comments:

Post a Comment

Cermin 58: Tali apa ini? Kemas betul ikatannya.

" Misteri diri Nur terlalu membelenggu dirinya."  Hakimi terjaga daripada lenanya. Dia kini berada di hutan asal sebentar tadi seb...