Ruangan kecil buat Sang Puteri Jalanan kembali turun bercerita tentang kehidupannya...
Sunday, November 27, 2022
Cermin 44: “Abang Pawana betul2 nak pergi? “
" Jaga diri, adikku. Jaga hati ini. Ia sangat bernilai. "
Selesai sahaja tadi bermesyuarat
dengan pasukannya, Rahasya berjalan perlahan menuju ke tepi tasik seperti rutin
kebiasaannya. Duduk tenang dan merindui. Dia mengeluh perlahan menahan rasa. Dia
terlalu penat. Hilang motivasi, jika tidak kerana tanggungjawab sebagai laksamana,
pastilah dia sudahpun mengikut jejak langkah abang seperguruannya, Pawana. Dia lantas
teringat abangnya itu. Dimana dia? Memori lama kembali menerpa ketika mereka
masih lagi bersama dalam pengajian ilmu sakti di bawah Sang Pertapa. Ketika itu
Pawana mengambil langkah berpecah. Dia mahu membawa haluannya sendiri.
“Abang Pawana betul2 nak pergi? “ Rahasya
cuba memujuk. Dia tidak suka situasi ini. Kepalanya mula sakit.
Pawana mengangguk.
“ Bukan semua perkara kita perlu
toleransi. Kita perlu teguh dalam prinsip wahai adikku Rahasya. Pendirian Haqq
tidak boleh diterima. Ia sangat menyalahi dari apa yang sepatutnya berlaku. Abang
tak boleh terima. “ Pawana tegas. Rahasya tertunduk sedih. Dia merasakan pasti
ada jalan yang lebih harmoni berbanding berpecah sebegini. Jalan tengah yang
lebih memberi erti.
“Abang Pawana janganlah terlalu keras
sebegini, pasti kita boleh ketemu jalan penyelesaian kepada pertikaian ini. Rahasya
percayakan itu. Kita tak perlu sehingga…berpecah…” sayu Rahasya berkata2. Dia benar2
sedih dengan apa yang terjadi.
"Pawana sebak. Dia berjalan terus tanpa menoleh lagi. "
Pawana tersenyum tawar dan mengusap
belakang adik kesayangannya itu. Adik yang dia kira terlalu baik hati dan
lembut.
“Kau terlalu muda wahai Rahasya untuk
memahami duduk letak perkara ini. Seiring dengan masa kau pasti akan faham, bahawasanya
prinsip itu pertama, yang lain letaknya di bawah dari itu. Hatimu ini terlalu
baik, abang akui. Akan tetapi, hidup dengan hati sebegini, akan memakan dirimu
kelak. “ Pawana tersenyum lagi. Dia harus menasihati adiknya ini dari terus
lena dari perjuangan sebenar. Rahasya mengeluh. Dia tidak faham
semua ini. Mengapa mesti bawa haluan sendiri sedangkan mereka semua boleh bersatu?
“ Rahasya merasakan bahawa bersatu itu
juga dikira sebagai prinsip. Jika kita bersatu, pasti Inderaloka malah seluruh loka
akan hidup aman damai. Sengketa yang terjadi hari ini akan menjadi titik tolak
kepada sesuatu bencana dikemudian hari. Tak bolehkah abang Pawana beralah demi
satu tujuan yang lebih murni?”
“ Kau patut nasihatkan abangmu Haqq,
bukan abangmu ini. Kau silap tempat adikku. Abang berada di atas jalan yang
benar. Sedang abang Haqqmu itu, dia cenderung memilih jalan sebaliknya. Salah abangkah
jika kekal mempertahankan kebenaran? “ Pawana berdiri. Dia tetap keras.
“ Kebenaran jenis apa ini jika semuanya
hancur berkecai? “ Rahasya menunduk. Dia semakin hilang kata2. Dia sedar, dia
tidak sepandai abangnya itu dalam berkata2, tapi dia juga punya persepsinya
tersendiri, tidak bolehkah mereka tidak berpecah? Rahasya kecewa. Walaupun dia
tidak tahu tentang masa depan, tapi dia merasakan jika perselisihan ini
berpanjangan, sesuatu yang buruk bakal berlaku kelak. Satu pertempuran yang
mungkin sukar untuk dielakkan.
“ Begini, Rahasya…abang tidak memaksamu
untuk menyebelahi abang, tapi jika kau berpihak kepada prinsip abangmu Haqq,
kau akan ketahui, bahawa abangmu di depan ini juga akan menjadi musuhmu. Abang juga
tidak suka benda ini berlaku, tapi prinsip kekal prinsip. Hitam itu hitam, putih
itu putih. Kau harus bijak membezakan kebenaran dan kebatilan. Teguhkan kepercayaanmu
Rahasya! “ Pawana mula berang apabila dipertikai. Rahasya mengerlus rambutnya. Berat
jiwanya. Dia sayangkan kedua abangnya itu. Mereka punya kekuatan tersendiri,
jika mereka bertiga bergabung, tiada siapapun akan mampu menggugat mereka.
“ Ini semua sudah tertulis Rahasya.
Janganlah kau bersedih hati. Abang tahu apa yang abang pegang, dan abang juga
merasakan abangmu Haqq tidak akan berpatah balik lagi. Dia juga telah memilih
jalannya. Maka kau sebagai adik, juga harus terima keputusan kami dan teruskan
hidupmu seperti biasa. Bila tiba masanya, kita semua akan bertemu semula. Abang
pasti. “ Pawana perlahankan semula suaranya. Dia tahu adiknya ini berhati lembut
dan sensitif. Dia tidak mahu ada pertikaian dengan manusia berhati suci seperti
adiknya ini. Dia mengusap lembut belakang adiknya dan perlahan beredar.
“ Jaga diri, adikku. Jaga hati ini. Ia
sangat bernilai. Abang tidak sesucimu…” Pawana sebak. Dia berjalan terus tanpa
menoleh lagi. Rahasya terduduk dan hampir menangis. Jiwa lelakinya benar2
terguris dengan perpisahan hari ini.
Rahasya tersedar dari lamunan itu
apabila Pertama menegur. Dia berdehem untuk mengembalikan kesedaran sebagai
seorang laksamana.
“ Tuan Laksamana, hamba ada maklumat
terbaru tentang…” belum sempat Pertama menghabiskan ayatnya,dia mendengar seseorang
berdehem di tepinya. Tuan Indera! Pertama tunduk hormat dan meminta diri untuk pergi.
Rahasya mengangguk dan memberi signal bahawa malam nanti mereka sambung bicara.
Pertama mengangguk.
"Kesetiaan dan kejujurannya itu padu."
Pertama, ketua penyiasat Rahasya yang
sangat dipercayai. Dia boleh menusuki pelbagai dimensi untuk mencari apa saja
maklumat yang diperlukan, dia memegang sakti layaran. Iaitu satu ilmu sakti
untuk mengembara interdimensi tanpa diketahui dan tidak meninggalkan satupun jejak yang boleh ditelusuri. Dia juga sangat bijak menyamar malah dikatakan
ilmu sakti penyamarannya menghampiri ilmu sakti bayang milik Nilam Mawar. Kerana
kelebihan ini juga, Rahasya mengambilnya sebagai ketua penyiasat merangkap orang
suruhan terdekatnya. Kesetiaan dan kejujurannya itu padu.
“ Ya, mengapa tuan hamba mencari hamba
petang2 sebegini. Tidak boleh tunggu esokkah?” Rahasya sinis. Dia meluat
diganggu ketika waktu petang kerana inilah waktu dia melepaskan penat Lelah bekerja
seharian. Indera ketawa sinis juga. Dia angkat kening. Rahasya mencebik melihat
riak wajah Indera dan memandang tasik dihadapannya. Dia begitu malas sekali
bila manusia ini bertemunya.
“ Sudah sepurnama lebih selepas ketiadaan
puteri. Dan tuan hamba masih lagi kekal tenang. Hebat ya?"
Indera membulatkan
mata. Rahasya ketawa kecil.
“ Boleh bergelak tawa lagi, pemergian
puteri satu bahan lawak tuan laksamanakah? “ Indera menyoal sinis.
Rahasya yang
malas mahu melayan sikap Indera itu perlahan2 naik ke atas sampan dan mula duduk
mendayung. Indera tidak mahu melepaskan peluang, dia juga melompat perlahan ke
atas sampan sebelah dan mengejar Rahasya dari tepi. Dia cuba meraih perhatian ketuanya
itu. Rahasya naik meluat dengan sikap tidak faham bahasa yang ditunjukkan
Indera itu. Ada2 sahajalah dia ini.
“ Hamba sedang mengumpul sekalian
bukti untuk dipersembah kepada Baginda Tuanku tentang salahlaku Tuan laksamana.
Tuan hamba tidak akan dapat lama menipu kami lagi. Hamba yakin tuan hamba
adalah dalang kepada kehilangan puteri! “ Indera menolak sampan Rahasya mengguna
dayungnya. Rahasya mengeluh benci.
“ Setiap sesuatu ada sempadannya.
Jangan biadap, Indera! “ Rahasya bersuara keras. Indera ketawa mengekek.
“ Bercakap tentang diri sendirikah wahai
tuan laksamana yang dihormati?” Indera kembali mengejek.
“ Kasihan puteri punya abang yang
tidak profesional sebegini. Gaya lagak bagai samseng jalanan sahaja. “ Rahasya memandang Indera tajam. Indera menaikkan anak matanya dan menunjukkan muka benci.
“ Nikmati kebebasanmu sementara waktu
ini. Hamba akan pastikan tuan hamba mendapat balasan atas apa yang terjadi. Tuan
hamba wajib bertanggungjawab. Hati2 Rahasya. Hamba yakin ada sesuatu yang tuan
hamba sembunyikan dari pengetahuan Baginda Tuanku. Kau begitu licik dalam
permainanmu. “ Indera tersenyum yakin.
Laksamana terkejut. Bagaimana Indera
boleh tahu nama sebenarnya? Rahasya telan air liur dalam diam. Tapi wajahnya
kekal tenang seperti selalunya. Ahhh persetan itu. Dia tidak peduli. Dia tidak
ada niat buruk terhadap puteri. Malah, dia tahu puteri sedang selamat dalam penjagaan
abangnya Haqq. Tiada apa yang perlu dirisaukan di sana. Sebaliknya, Raja Cermin
lah yang perlu disiasat. Tentang ini pasti Indera tidak tahu. Jika kisah silam
Raja Cermin dan ayahanda bonda Indera dibongkar, pastilah Indera tidak seyakin
ini dalam berbicara. Anak yang kasihan. Bisik Rahasya dalam hatinya. Jauh disudut
jiwanya, dia masih punya rasa belas dan kasihan kepada abang puteri ini. Cukuplah
apa yang terjadi dulu, dia yakin Indera berhak untuk mendapat sebuah kehidupan
yang baik. Akan tetapi, sikap Indera sedikit sebanyak menganggu jiwanya untuk
terus berjuang menyelamatkan Inderaloka dan puteri. Dia mengeluh perlahan.
"Jauh disudut jiwanya, dia masih punya rasa belas dan kasihan kepada abang puteri ini."
“ Lakukan apa yang tuan hamba rasa
terbaik. Hamba di sini juga sentiasa melakukan apa yang terbaik. Tidak pernah terlintas
dalam fikiran hamba untuk mengkhianati sesiapapun. Semuanya sudah tertulis, dan
apa Yang Maha Esa kehendaki, telahpun Dia lakukan. Kita sebagai hamba, hanya
melalui semuanya dengan jiwa yang tenang dan redha. Terlalu banyak perkara di
luar pengetahuan kita sebagai seorang insan. Kejahilan kita dalam genggaman Tuhan
Yang Maha Mengetahui. Hamba yakin segalanya punya hikmah, termasuklah kelahiran
tuan hamba.” Rahasya membalas dengan ayat yang lebih pedih. Ayat terakhir itu
menyentak jiwa Indera. Entah kenapa Indera mendayung perlahan mendekati tebing
tasik dan mula pergi dengan wajah yang keliru dan celaru. Hatinya terusik
dengan ayat terakhir Rahasya. Benar, sehingga kini, dia tidak tahu siapakah
orang tuanya. Adakah itu sesuatu yang penting? Indera pulang dengan hati yang
sebu. Dahinya berkerut. Krisis identitinya kembali menerpa.
Rahasya sedar perkara itu. Dia juga
merasa bersalah, tapi setiap orang berhak mempertahankan diri. Mungkin sudah tiba
masanya perkara tentang kelahiran Indera harus dipersoalkan. Tak mustahil, Raja
Cermin akan lebih gentar tentang kisah silam Indera dan mungkin timbul
keinsafan dalam dirinya untuk tidak mengamalkan ilmu lamanya itu. Dia tidak
sabar mahu lihat apa yang akan berlaku seterusnya. Rahasya cuba berkira2. Cahaya
matahari petang yang menyinar di permukaan air menenangkan hatinya yang kini
sedang hanyut merindui puteri...
Bersambung...
"Malah, dia tahu puteri sedang selamat dalam penjagaan abangnya Haqq. Tiada apa yang perlu dirisaukan di sana. "
No comments:
Post a Comment