Monday, March 27, 2023

Cermin 46: Cinta itu sendiri adalah satu perangkap.


"Rahasya…ohhh Rahasya, kau dalam masalah besar sekarang ni!"

Di Taman Bunga Arushi, Istana Lama Zaans. 

Rahasya duduk sebentar melepaskan tekanan jiwanya. Perjanjian semalam bersama Sang Dewi agak berisiko untuknya terima. Dia mengeluh perlahan. Puteri hilang ingatan? ini kerja gila. dia terasa dijerat dengan perjanjian berat sebelah sebegitu. Apa niat sebenar Sang Dewi agaknya? Rahasya mula meluat. Dia mengulang semula kata2 Sang Dewi di dewan besar semalam.

 " Beta mahukan tuan laksamana jagakan puteri dengan baik. Penyatuan itu akan mengambil masa beberapa purnama untuk matang. Sebelum tempoh itu, dia tidak boleh berada dalam bahaya apapun, jika ia berlaku, segala ingatannya bakal hilang, dirinya yang lama akan hancur berkecai dan mungkin lebih teruk, puteri akan bertemu ajalnya. Tuan laksamana berani mengambil risiko ini? " Sang Dewi tersenyum mengejek. "

Jagakan puteri dengan baik, itu perkara enteng baginya. Tapi dia bukannya Tuhan untuk memberi kepastian sebegitu! Aduh! Memberi satu kepastian bahawa tiada apa2 bahaya menimpa tuan puteri adalah satu perjanjian yang gila! Beberapa purnama pula. Sudahlah begitu, jika gagal segala ingatan tuan puteri bakal hilang, diri lama hancur berkecai dan mungkin bertemu ajal? Rahasya terasa kepalanya seperti mahu pecah. 

Untuk seketika dia terasa bodoh sekali membawa puteri datang ke sini. Mengapalah dia tidak tegas ketika dipujuk tuan puteri? Mengapa dia begitu berani sekali melanggar titah rajanya sendiri! Rahasya…ohhh Rahasya, kau dalam masalah besar sekarang ni! Rahasya menarik rambutnya sendiri tanda buntu dengan semua yang terjadi kini. Jangan mati akal Rahasya, kau seorang laksamana, kau dah melalui pelbagai kesukaran sebelum ini termasuklah siri perang yang hampir meragut nyawamu sendiri. Pasti kau boleh melepasi kesusahan kali ini. Monolognya menyedapkan hati sendiri. Rahasya tersandar di bawah satu pohon besar berbunga merah jambu. 

Keindahan pemandangan terbentang luas di hadapannya kini gagal menenteramkan hatinya yang sedang gundah gulana tentang keselamatan buah hatinya. Penyesalan tiada gunanya. Dia harus terus berdiplomasi lagi sedaya upaya. Ya, dia perlu segera pulang ke Inderaloka bersama puteri. Malam ini dia harus bertemu Sang Dewi untuk membawa puteri pulang. Puteri. Bagaimana khabarnya? Sekelip mata Rahasya berlari sepantas kilat menuju tempat beradu Cahaya.

                                             


"Dia teringat kekasihnya suatu masa dahulu. Dendamnya takkan semudah itu terhapus."

Sampainya dia didepan kamar beradu Cahaya, kelihatan dua pengawal wanita sedang berdiri tegak.

“Hamba mahu masuk ke dalam bertemu tuan puteri kerajaan Inderaloka. “ ujarnya tegas. Keduanya menggeleng tanda bantah. Rahasya bengang. Dia menarik nafas panjang dan memetik jarinya di hadapan keduanya,lantas mereka terpukau. Pintu dibukakan tanpa sebarang halangan. Rahasya tersenyum. Nasibnya baik kerana kelihatan Sang Dewi tidak mengenakan sebarang magis ampuh di sini. Dia lantas berjalan perlahan ke kamar beradu Cahaya. Terlihat sahaja wajah tuan puterinya, dia duduk di sebelahnya sayup. Rasa bersalah menyelubungi jiwanya. Maafkan patik wahai tuan puteri. Kalau saja patik tidak begitu degil melanggar titah Raja Cermin, pastilah kita berdua sedang berbual mesra di Taman Larangan Istana Cermin.

***

Sang Dewi yang sedang asyik bertafakur di sebelah tasik dipenuhi bungaan teratai magisnya, terbatuk2. Ada sesuatu yang menganggu meditasinya petang ini. Dia memusingkan tangannya membentuk satu buih kecil di hadapannya. Dia ingin mengetahui khabar puteri. Dia tersenyum melihat Rahasya sedang memegang tangan puteri yang sedang asyik beradu. Ya, dia memang sengaja mengurangkan tahap magisnya di kamar anakandanya itu. Apa yang sedang berlaku semua di dalam kiraannya. Sang Dewi tersenyum. Rancangannya menjadi. 

Sedikit masa lagi dia akan dapat menuai hasilnya. Dia teringat kekasihnya suatu masa dahulu. Dendamnya takkan semudah itu terhapus. Rahasya akan menjadi kambing hitam untuk melaksanakan pembalasan dendam itu. Anakandanya pula adalah boneka jujur yang mudah dimanipulasi. Itulah sangkaan gelap Sang Dewi. Dia meniup buih tadi dan buih itu meletup dan terpercik keliling menghasilkan debu2 gemerlap.

Malamnya.

“ Patik datang untuk berbincang. Beritahu patik cara supaya risiko semalam dikurangkan dan tuan puteri selamat sepenuhnya. “ Ujar Rahasya tegas. Sang Dewi tersenyum menuangkan teh bunga di cawan Rahasya.

“ Setiap sesuatu ada harganya, beta rasa Tuan Laksamana faham berkenaan ini kan?” Sang Dewi senyum lagi. Dia menongkat dagunya dan memandang Rahasya dengan pandangan penuh perangkap. Rahasya membalas pandangan Sang Dewi dengan tajam sekali.

“ Apa sebenarnya niat Sang Dewi melakukan sebegini terhadap anakanda sendiri? “ Rahasya cuba mencungkil kebenaran.

“ Tuan Laksamana terlalu mentah untuk mengambil tahu tujuan beta. Cukuplah tuan tahu beta cuma mahu yang terbaik buatnya. Itu sahaja. Silakan jamah hidangan yang ada. Berlapar bukanlah jalan yang terbaik. “ Sang Dewi tergelak kecil. Rahasya menjeling. 



"Jangan mati akal Rahasya, kau seorang laksamana, kau dah melalui pelbagai kesukaran sebelum ini termasuklah siri perang yang hampir meragut nyawamu sendiri. Pasti kau boleh melepasi kesusahan kali ini."

Dia menarik nafas panjang. Dia menutup matanya dan cuba menawarkan magis yang ada pada setiap makanan dan minuman terhidang. Tiada magis rupanya. Dia menarik nafas lega. Permainan Sang Dewi sangat mengelirukan. Dia lantas menjamah sedikit makanan sebagai tanda adab sopan di tempat orang. Sambil mereka berdua makan perlahan, Rahasya bersuara lagi.

“ Esok patik mahu bawa tuan puteri pulang. Patik tidak mengharapkan sebarang halangan daripada pihak Sang Dewi. “ selamba Rahasya bersuara sambil menyuap makanan.

“ Seperti yang sudah dipersetujui, beta tiada halangan setelah Tuan Laksamana bersetuju dengan syarat beta semalam. “ Sang Dewi sambung menyuap pula.

“ Patik sudahpun beritahu semalam, patik hanya bersetuju jika Sang Dewi jujur berkenaan bunga larangan itu. “ Rahasya bijak berdiplomasi. Dia sedaya upaya mengawal emosinya.

“ Nama pun bunga larangan, apa lagi penjelasan terbaik selain makna namanya?” Sang Dewi tergelak.

“ Maksud Sang Dewi, kami berdua sudahpun berada dalam perangkapkah?” Rahasya mengecilkan matanya memandang Sang Dewi.

“ Cinta itu sendiri adalah satu perangkap. Bukan salah beta. “ Sang Dewi tersenyum manis memandang Rahasya.

“ Jangan mempergunakan sesuatu yang suci demi kepentingan sendiri. Kelak, ia pasti memakan diri. “ Rahasya memberi amaran halus.

“ Esok, jumpa beta di Tasik Teratai. Beta akan bawa tuan puteri sekali. Bungkuskan barang tuan laksamana malam ini. Kirimkan salam beta pada raja sucimu itu. “ Sang Dewi bangkit dan beredar. Dia terasa dengan ayat pedas Rahasya sebentar tadi.

Rahasya seperti mengerti sesuatu. Adakah Sang Dewi berdendam dengan Raja Cermin? Dia harus pulang segera ke Inderaloka untuk bermeditasi dan menyiasat semua perkaitan ini. Di Zaans ini, kuasanya seperti dirantai dan disekat. Dia sungguh benci suasana sebegini.


bersambung...


“ Cinta itu sendiri adalah satu perangkap. " 

No comments:

Post a Comment

Cermin 58: Tali apa ini? Kemas betul ikatannya.

" Misteri diri Nur terlalu membelenggu dirinya."  Hakimi terjaga daripada lenanya. Dia kini berada di hutan asal sebentar tadi seb...