Sunday, November 27, 2022

Cermin 44: “Abang Pawana betul2 nak pergi? “


" Jaga diri, adikku. Jaga hati ini. Ia sangat bernilai. "

Selesai sahaja tadi bermesyuarat dengan pasukannya, Rahasya berjalan perlahan menuju ke tepi tasik seperti rutin kebiasaannya. Duduk tenang dan merindui. Dia mengeluh perlahan menahan rasa. Dia terlalu penat. Hilang motivasi, jika tidak kerana tanggungjawab sebagai laksamana, pastilah dia sudahpun mengikut jejak langkah abang seperguruannya, Pawana. Dia lantas teringat abangnya itu. Dimana dia? Memori lama kembali menerpa ketika mereka masih lagi bersama dalam pengajian ilmu sakti di bawah Sang Pertapa. Ketika itu Pawana mengambil langkah berpecah. Dia mahu membawa haluannya sendiri.

“Abang Pawana betul2 nak pergi? “ Rahasya cuba memujuk. Dia tidak suka situasi ini. Kepalanya mula sakit.

Pawana mengangguk.

“ Bukan semua perkara kita perlu toleransi. Kita perlu teguh dalam prinsip wahai adikku Rahasya. Pendirian Haqq tidak boleh diterima. Ia sangat menyalahi dari apa yang sepatutnya berlaku. Abang tak boleh terima. “ Pawana tegas. Rahasya tertunduk sedih. Dia merasakan pasti ada jalan yang lebih harmoni berbanding berpecah sebegini. Jalan tengah yang lebih memberi erti.

“Abang Pawana janganlah terlalu keras sebegini, pasti kita boleh ketemu jalan penyelesaian kepada pertikaian ini. Rahasya percayakan itu. Kita tak perlu sehingga…berpecah…” sayu Rahasya berkata2. Dia benar2 sedih dengan apa yang terjadi.


"Pawana sebak. Dia berjalan terus tanpa menoleh lagi. "

Pawana tersenyum tawar dan mengusap belakang adik kesayangannya itu. Adik yang dia kira terlalu baik hati dan lembut.

“Kau terlalu muda wahai Rahasya untuk memahami duduk letak perkara ini. Seiring dengan masa kau pasti akan faham, bahawasanya prinsip itu pertama, yang lain letaknya di bawah dari itu. Hatimu ini terlalu baik, abang akui. Akan tetapi, hidup dengan hati sebegini, akan memakan dirimu kelak. “ Pawana tersenyum lagi. Dia harus menasihati adiknya ini dari terus lena dari perjuangan sebenar.
Rahasya mengeluh. Dia tidak faham semua ini. Mengapa mesti bawa haluan sendiri sedangkan mereka semua boleh bersatu?

“ Rahasya merasakan bahawa bersatu itu juga dikira sebagai prinsip. Jika kita bersatu, pasti Inderaloka malah seluruh loka akan hidup aman damai. Sengketa yang terjadi hari ini akan menjadi titik tolak kepada sesuatu bencana dikemudian hari. Tak bolehkah abang Pawana beralah demi satu tujuan yang lebih murni?”

“ Kau patut nasihatkan abangmu Haqq, bukan abangmu ini. Kau silap tempat adikku. Abang berada di atas jalan yang benar. Sedang abang Haqqmu itu, dia cenderung memilih jalan sebaliknya. Salah abangkah jika kekal mempertahankan kebenaran? “ Pawana berdiri. Dia tetap keras.

“ Kebenaran jenis apa ini jika semuanya hancur berkecai? “ Rahasya menunduk. Dia semakin hilang kata2. Dia sedar, dia tidak sepandai abangnya itu dalam berkata2, tapi dia juga punya persepsinya tersendiri, tidak bolehkah mereka tidak berpecah? Rahasya kecewa. Walaupun dia tidak tahu tentang masa depan, tapi dia merasakan jika perselisihan ini berpanjangan, sesuatu yang buruk bakal berlaku kelak. Satu pertempuran yang mungkin sukar untuk dielakkan.

“ Begini, Rahasya…abang tidak memaksamu untuk menyebelahi abang, tapi jika kau berpihak kepada prinsip abangmu Haqq, kau akan ketahui, bahawa abangmu di depan ini juga akan menjadi musuhmu. Abang juga tidak suka benda ini berlaku, tapi prinsip kekal prinsip. Hitam itu hitam, putih itu putih. Kau harus bijak membezakan kebenaran dan kebatilan. Teguhkan kepercayaanmu Rahasya! “ Pawana mula berang apabila dipertikai. Rahasya mengerlus rambutnya. Berat jiwanya. Dia sayangkan kedua abangnya itu. Mereka punya kekuatan tersendiri, jika mereka bertiga bergabung, tiada siapapun akan mampu menggugat mereka.

“ Ini semua sudah tertulis Rahasya. Janganlah kau bersedih hati. Abang tahu apa yang abang pegang, dan abang juga merasakan abangmu Haqq tidak akan berpatah balik lagi. Dia juga telah memilih jalannya. Maka kau sebagai adik, juga harus terima keputusan kami dan teruskan hidupmu seperti biasa. Bila tiba masanya, kita semua akan bertemu semula. Abang pasti. “ Pawana perlahankan semula suaranya. Dia tahu adiknya ini berhati lembut dan sensitif. Dia tidak mahu ada pertikaian dengan manusia berhati suci seperti adiknya ini. Dia mengusap lembut belakang adiknya dan perlahan beredar.

“ Jaga diri, adikku. Jaga hati ini. Ia sangat bernilai. Abang tidak sesucimu…” Pawana sebak. Dia berjalan terus tanpa menoleh lagi. Rahasya terduduk dan hampir menangis. Jiwa lelakinya benar2 terguris dengan perpisahan hari ini.

Rahasya tersedar dari lamunan itu apabila Pertama menegur. Dia berdehem untuk mengembalikan kesedaran sebagai seorang laksamana.

“ Tuan Laksamana, hamba ada maklumat terbaru tentang…” belum sempat Pertama menghabiskan ayatnya,dia mendengar seseorang berdehem di tepinya. Tuan Indera! Pertama tunduk hormat dan meminta diri untuk pergi. Rahasya mengangguk dan memberi signal bahawa malam nanti mereka sambung bicara. Pertama mengangguk.


"Kesetiaan dan kejujurannya itu padu."

Pertama, ketua penyiasat Rahasya yang sangat dipercayai. Dia boleh menusuki pelbagai dimensi untuk mencari apa saja maklumat yang diperlukan, dia memegang sakti layaran. Iaitu satu ilmu sakti untuk mengembara interdimensi tanpa diketahui dan tidak meninggalkan satupun jejak yang boleh ditelusuri. Dia juga sangat bijak menyamar malah dikatakan ilmu sakti penyamarannya menghampiri ilmu sakti bayang milik Nilam Mawar. Kerana kelebihan ini juga, Rahasya mengambilnya sebagai ketua penyiasat merangkap orang suruhan terdekatnya. Kesetiaan dan kejujurannya itu padu.

“ Ya, mengapa tuan hamba mencari hamba petang2 sebegini. Tidak boleh tunggu esokkah?” Rahasya sinis. Dia meluat diganggu ketika waktu petang kerana inilah waktu dia melepaskan penat Lelah bekerja seharian. Indera ketawa sinis juga. Dia angkat kening. Rahasya mencebik melihat riak wajah Indera dan memandang tasik dihadapannya. Dia begitu malas sekali bila manusia ini bertemunya.

“ Sudah sepurnama lebih selepas ketiadaan puteri. Dan tuan hamba masih lagi kekal tenang. Hebat ya?"

 Indera membulatkan mata. Rahasya ketawa kecil.

“ Boleh bergelak tawa lagi, pemergian puteri satu bahan lawak tuan laksamanakah? “ Indera menyoal sinis.

 Rahasya yang malas mahu melayan sikap Indera itu perlahan2 naik ke atas sampan dan mula duduk mendayung. Indera tidak mahu melepaskan peluang, dia juga melompat perlahan ke atas sampan sebelah dan mengejar Rahasya dari tepi. Dia cuba meraih perhatian ketuanya itu. Rahasya naik meluat dengan sikap tidak faham bahasa yang ditunjukkan Indera itu. Ada2 sahajalah dia ini.

“ Hamba sedang mengumpul sekalian bukti untuk dipersembah kepada Baginda Tuanku tentang salahlaku Tuan laksamana. Tuan hamba tidak akan dapat lama menipu kami lagi. Hamba yakin tuan hamba adalah dalang kepada kehilangan puteri! “ Indera menolak sampan Rahasya mengguna dayungnya. Rahasya mengeluh benci.

“ Setiap sesuatu ada sempadannya. Jangan biadap, Indera! “ Rahasya bersuara keras. Indera ketawa mengekek.

“ Bercakap tentang diri sendirikah wahai tuan laksamana yang dihormati?” Indera kembali mengejek.

“ Kasihan puteri punya abang yang tidak profesional sebegini. Gaya lagak bagai samseng jalanan sahaja. “ Rahasya memandang Indera tajam. Indera menaikkan anak matanya dan menunjukkan muka benci.

“ Nikmati kebebasanmu sementara waktu ini. Hamba akan pastikan tuan hamba mendapat balasan atas apa yang terjadi. Tuan hamba wajib bertanggungjawab. Hati2 Rahasya. Hamba yakin ada sesuatu yang tuan hamba sembunyikan dari pengetahuan Baginda Tuanku. Kau begitu licik dalam permainanmu.  “ Indera tersenyum yakin.

Laksamana terkejut. Bagaimana Indera boleh tahu nama sebenarnya? Rahasya telan air liur dalam diam. Tapi wajahnya kekal tenang seperti selalunya. Ahhh persetan itu. Dia tidak peduli. Dia tidak ada niat buruk terhadap puteri. Malah, dia tahu puteri sedang selamat dalam penjagaan abangnya Haqq. Tiada apa yang perlu dirisaukan di sana. Sebaliknya, Raja Cermin lah yang perlu disiasat. Tentang ini pasti Indera tidak tahu. Jika kisah silam Raja Cermin dan ayahanda bonda Indera dibongkar, pastilah Indera tidak seyakin ini dalam berbicara. Anak yang kasihan. Bisik Rahasya dalam hatinya. Jauh disudut jiwanya, dia masih punya rasa belas dan kasihan kepada abang puteri ini. Cukuplah apa yang terjadi dulu, dia yakin Indera berhak untuk mendapat sebuah kehidupan yang baik. Akan tetapi, sikap Indera sedikit sebanyak menganggu jiwanya untuk terus berjuang menyelamatkan Inderaloka dan puteri. Dia mengeluh perlahan.


"Jauh disudut jiwanya, dia masih punya rasa belas dan kasihan kepada abang puteri ini."

“ Lakukan apa yang tuan hamba rasa terbaik. Hamba di sini juga sentiasa melakukan apa yang terbaik. Tidak pernah terlintas dalam fikiran hamba untuk mengkhianati sesiapapun. Semuanya sudah tertulis, dan apa Yang Maha Esa kehendaki, telahpun Dia lakukan. Kita sebagai hamba, hanya melalui semuanya dengan jiwa yang tenang dan redha. Terlalu banyak perkara di luar pengetahuan kita sebagai seorang insan. Kejahilan kita dalam genggaman Tuhan Yang Maha Mengetahui. Hamba yakin segalanya punya hikmah, termasuklah kelahiran tuan hamba.” Rahasya membalas dengan ayat yang lebih pedih. Ayat terakhir itu menyentak jiwa Indera. Entah kenapa Indera mendayung perlahan mendekati tebing tasik dan mula pergi dengan wajah yang keliru dan celaru. Hatinya terusik dengan ayat terakhir Rahasya. Benar, sehingga kini, dia tidak tahu siapakah orang tuanya. Adakah itu sesuatu yang penting? Indera pulang dengan hati yang sebu. Dahinya berkerut. Krisis identitinya kembali menerpa.

Rahasya sedar perkara itu. Dia juga merasa bersalah, tapi setiap orang berhak mempertahankan diri. Mungkin sudah tiba masanya perkara tentang kelahiran Indera harus dipersoalkan. Tak mustahil, Raja Cermin akan lebih gentar tentang kisah silam Indera dan mungkin timbul keinsafan dalam dirinya untuk tidak mengamalkan ilmu lamanya itu. Dia tidak sabar mahu lihat apa yang akan berlaku seterusnya. Rahasya cuba berkira2. Cahaya matahari petang yang menyinar di permukaan air menenangkan hatinya yang kini sedang hanyut merindui puteri...

Bersambung...


"Malah, dia tahu puteri sedang selamat dalam penjagaan abangnya Haqq. Tiada apa yang perlu dirisaukan di sana. "



Wednesday, November 23, 2022

Puisi tenang: menjauhlah sebab ia sangat menyakitkan...


"Semoga semua baik2 sahaja..."

Akan ada satu saat, memaafkan tu boleh.

tapi hati ni dah taknak berjumpa, 

taknak tengok dah orang tu...

menjauhlah sebab ia sangat menyakitkan...

hati perlu masa untuk sembuh...

jangan tabur pasir pada luka yang sedang berdarah...
                                                                                                                                                                                                          


" Kekal dengan prinsip tak semudah yang disangka. Kita akan jadi bahan kebencian manusia. Tak mengapa, ini lumrah. Kita tak cari redha manusia..."

Wednesday, November 9, 2022

Cermin 43: Perlawanan jiwa tiga penjuru...


"Sebelum dia menjemput puteri kembali ke Inderaloka atas, dia perlu menyiasat dengan lebih dalam apa jenis kuasa yang sedang membayangi Inderaloka atas."

Perlawanan jiwa tiga penjuru...


Rahasya.

Rahasya mengeluh. Memori bersama puteri sangat mengguris jiwanya. Terutama apabila kini puteri sudahpun hilang hampir keseluruhan ingatannya. Dia termenung seketika memikirkan bahawa kini Haqq sedang menjaga puteri. Bunga itu sudahpun ditanam tepat di jantung puteri. Dia berharap Haqq menjaga puteri sebaiknya, sementelah dia kini sedang cuba menyelesaikan konflik dalaman yang berlaku di Istana Cermin. Kini, setiap kali dia bermeditasi pasti akan diganggu dengan bayangan puteri. Sebelum dia menjemput puteri kembali ke Inderaloka atas, dia perlu menyiasat dengan lebih dalam apa jenis kuasa yang sedang membayangi Inderaloka atas. Kuasa mistik yang sedang menganggu kedamaian sentero loka dengan menghasut pelbagai watak untuk terus berperang demi mendapatkan kuasa. Rahasya mengeluh lagi. Meditasi demi meditasi kini tidak begitu memberi impak buat jiwanya. Dia juga sedar ketenangan dirinya sekarang tergugat kerana bebanan tugas yang semakin memberat ditambah dengan kerisauan tentang keadaan puteri.

“Puteri, jika tidak kerana kuasa itu yang semakin membarah di dalam tubuh ayahandamu itu, pastilah patik segera menjemputmu..." Rahasya bermonolog. Dia kecewa tapi dia harus kuat. Memegang posisi sebagai laksamana sebuah negara pastilah setiap tindakan tidak boleh semudah itu. Semuanya pasti dikira dalam pertimbangan kerana dia mengerti setiap satu tindakan punya risikonya tersendiri. Jika diikutkan hati, mahu sahaja sekarang ini juga dia menjemput puteri. Tapi jika dia menjemput puteri, pastilah akan berlaku perebutan bunga larangan itu samaada secara halus mahupun kasar dari Raja Cermin. Jika bunga itu berjaya dirampas, pastilah selepas itu berlaku pula siri peperangan besar2an antara Inderaloka atas dan juga seluruh loka lainnya yang entah bila tamatnya dan sudah tentu ia akan mengorbankan ramai nyawa yang tidak bersalah. Rahasya tahu bunga itu mempunyai tarikan yang mampu membuatkan sesiapa saja yang berkehendakkan kekuasaan, menjadi gila. Godaannya terlalu kuat. 

Raja Cermin yang terkenal sangat baik itupun tak mustahil kalah dengan aura bunga itu. Apatahlagi, sejarah amukan Raja Cermin suatu masa dahulu, membuktikan ada sesuatu potensi tersembunyi tentang rajanya itu. Ini semua membuatkan Rahasya sangat runsing. Adakah dia cukup kuat untuk menghapuskan kuasa misteri yang sedang merasuki ayahanda puteri itu? Jika dia tidak cukup kuat, pada siapakah dia perlu memohon bantuan? Abangnya Haqq akan membantu musuhnya kah? Bagaimana jika dia memohon bantuan adik beradik seperguruannya? Mencari abangnya Pawana? Bagaimana pula jika berlaku pertempuran besar antara abangnya Pawana dan abangnya Haqq? Aduh bahaya. Bagaimana pula Nenda Melor? Dia juga meragui kejujurannya, ada sesuatu pada Nenda Melor yang merisaukannya. Paling penting sekali , selepas semuanya selesai nanti, akankah abangnya Haqq itu patuh pada janji mereka untuk memulangkan puteri semula padanya? Rahasya mengeluh lagi dan lagi. Sungguh berat pertimbangan kali ini.

Akhir sekali, dia mengakui, ini bukanlah apa yang dia rancangkan dahulu. Semuanya telahpun lari dari perancangan asal. Dia tidak mengetahui serumit ini kesan daripada pencarian bunga larangan itu. Jika dia tahu, takkanlah dia mahu menggadaikan keselamatan puteri! Yang tinggal kini, dia perlu merancang perancangan baru supaya keharmonian dan kestabilan loka2 terutama Inderaloka Atas terpelihara. Dalam dia sibuk merancang dan bertindak langkah demi langkah, dia mengeluh sekali lagi. Kenangan bersama puteri mengacau jiwa kasarnya. Guruh yang tiba2 berbunyi di selang seli dengan kilat. Hujan menitik sedikit demi sedikit seperti mengetahui kegundahan hatinya kini. 

***


Haqq.

Malam ini bulan mengambang penuh. Haqq mengeluh keseorangan. Dia sedang berkira2 adakah dia juga perlu menyimpan bunga larangan itu demi perluasan kuasanya? Walaupun itu bukanlah motif utamanya, tapi jika bunga larangan itu dapat ke tangan ayahanda puteri, pastilah kerajaan Inderaloka bawah akan digempur habis2an, dia sangat pasti tentang itu. Dia juga risau, adakah kuasanya mampu melawan kuasa bunga larangan itu? Bagaimana dengan puteri? Adakah jika bunga larangan itu dipisahkan dari dirinya, akan memberi kesan pada diri puteri? Jika boleh dalam apapun keputusan yang diambil, keselamatan puteri menjadi keutamaannya. Dia tidak mahu melihat kekasihnya itu terluka. Selain daripada dia sudahpun berjanji dengan adiknya Rahasya untuk menjaga puteri dengan baik, dia juga perlu memikirkan banyak perkara. Untuk memulangkan puteri kepada adiknya itu? Biar hancur dirinya, tidak akan sekali2 dia melakukan sebegitu. Puteri miliknya! Persepsi gelap Haqq merasuki ruang ego dirinya. Jika dia terus menyimpan puteri disisinya, pasti segalanya dapat diselamatkan. Kerajaan Inderaloka bawahnya juga akan kekal makmur dan siri perluasan kuasanya kelak pasti akan disulami dengan kemenangan tanpa kalah. Haqq tersenyum yakin. Ya, dia perlukan puteri untuk menyeimbangkan segalanya yang dia sedang pelihara. Dia bertekad untuk tidak melepaskan puteri biar apapun terjadi. Titik. 

***


Indera.

Sudah sebulan lebih puteri hilang. Sehingga kini, dia masih gagal bertelepati dengan adiknya itu yang kini dibawa lari Haqq, Raja Kegelapan Inderaloka Bawah. Dia sangat risau. Kerahan tentera di segenap pelusuk negara diperketatkan, masih buntu menemui hasilnya. Indera sudah hampir putus asa. Setiap kali bertembung dengan Laksamana, hatinya panas membara. Entah gila apa, laksamana tak pernah mahu mengaku silapnya. Dia sangat yakin, tempohari kerja laksamana lah yang telah membawa puteri mencari bunga larangan itu, mengapa laksamana tak mahu mengaku???! Kerana inilah semuanya bermula. Krisis demi krisis terjadi selepas pemergian puteri. Jika tidak kerana laksamana membawa posisi yang lebih tinggi darinya, pasti dia sudah menghapuskannya! Arghhh persetan dengan posisi tugas, dia cuma perlukan bukti2 kukuh untuk mempersembah kepada Raja Cermin tentang siapa sebenarnya laksamana itu. Jika boleh, dia mahu laksamana dipenjarakan kerana gagal menjalankan tugas dengan baik, malah menyebabkan puteri hilang sehingga kini! Indera terlalu bengang! Dia hampir hilang rasionaliti. Sejenak dia teringat peristiwa ketika mereka diserang di atas gunung tempohari. Itulah terakhir dia melihat adiknya. Dia sangat rindu untuk bergelak tawa bersama adiknya itu. Puteri, mana awak...Indera hampir menjerit cuba menahan rasa. Dia mencucuk pedangnya ke tanah dan cuba bertenang menahan amarah yang teramat pada laksamana. 

Bersambung...



Cermin 58: Tali apa ini? Kemas betul ikatannya.

" Misteri diri Nur terlalu membelenggu dirinya."  Hakimi terjaga daripada lenanya. Dia kini berada di hutan asal sebentar tadi seb...